TEORI MOTIVASI DIRI S.M.A.R.T
Teori Motivasi Diri S.M.A.R.T merupakan satu teori yang menjelaskan bahawa untuk membina kejayaan dan kecemerlangan dalam diri serta kepada persekitaran kita, kekuatan itu harus bermula dengan diri sendiri. Kita tidak punya kuasa untuk mengubah persekitaran tetapi kita berkuasa untuk mengubah sikap dan pemikiran kita sendiri.
Perkataan S.M.A.R.T apabila ditujukan kepada individu, ia menggambarkan sesuatu yang hebat, tenang, cerdik sebagaimana hero-hero filem yang kebanyakannya ditonjolkan watak-watak itu dengan pelbagai ciri dan mereka semua nampak 'SMART'.
Individu yang bermotivasi diri tinggi adalah individu yang memiliki strategi dalam kehidupannya. Individu berstrategi bermaksud, individu yang memiliki matlamat, mengetahui kekuatan diri dan kelemahan diri, mengenali keadaan persekitaran yang membantu diri atau yang menjadi ancaman kepada diri (analisa SWOT). Bahkan mereka juga menyedari bahawa pada diri mereka ada 4 ruangan penambahbaikan diri (Tingkap Jauhari).
Mereka mampu untuk menetapkan minda mereka untuk memenuhi keperluan, tugasan dan sasaran yang ditetapkan. Sikap pula adalah jantung kepada pembinaan motivasi diri. Usaha akan jadi sia-sia jika sikap negatif tidak berubah dan ironinya, sikap hanya boleh diubah oleh diri sendiri.
Apabila individu itu bersedia untuk membuat perubahan sikap yang positif, tetap mindanya serta menyusun seterusnya memenuhi strateginya, maka mereka akan mampu lahir sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Segala apa yang ingin individu itu lakukan, sama ada menyusun dan melaksana strategi, menetapkan minda, perubahan sikap atau membina rasa tanggungjawab diri, mereka harus sedar bahawa kehidupan ini adalah satu jangka masa yang telah ditetapkan sebelum tiba hari kematian. Oleh yang demikian, perubahan diri tidak boleh ditunggu-tunggu kerana kita khuatir, mungkin jangka masa kita telah tamat tempoh.